Pertemuan saya yang tidak dirancang dengan wanita berusia 35 tahun ini menjadikan saya tidak tidur lena. Bukan kerana dia menjadi idola atau wanita ternama tapi dek ketelusannya bercerita tentang rasa kecewa kerana tidak dapat memberi kebahagiaan dan keseronokan kepada anak-anaknya disebabkan taraf hidup yang tidak mengizinkan.
Pertemuan kami berlaku di sebuah pusat membeli-belah ternama di ibu kota. Secara kebetulan saya ada temujanji dengan seorang teman. Sementara menunggu dia datang, saya duduk di sebuah bangku menghadap taman permainan kanak-kanak di pusat membeli-belah tersebut.
Di sebelah saya seorang wanita sedang asyik melihat ke arah taman permainan tersebut, sesekali dia melambai-lambai ke arah budak-budak yang sedang leka bermain. Di sebelahnya ada sebuah beg yang sederhana besarnya. Ada bekas air dan bekas makanan, saya juga nampak beberapa paket gula-gula.
Lama saya merenung dia sehingga dia perasan saya sedang memerhatinya. Memang itu yang saya umpan dengan harapan dia menoleh. Sebaik bertentang mata, saya melemparkan senyuman, dia membalasnya dan saya segera menghulur tangan dan bertanya khabar serta tujuan dia ke situ.
"Nama saya Shalin, tunggu anak-anak,'' katanya sambil menunjuk ke arah budak-budak yang leka bermain. Dua kanak-kanak berusia antara lapan hingga 10 tahun melambai-lambai kepadanya.
Merenung wajah wanita ini firasat saya kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. "Selalu bawa anak-anak ke sini?'' Saya menyambung perbualan.
"Selalu juga kalau dia orang merungut nak ke taman permainan yang mahal, saya akan bawa mereka ke sini,'' balas Shalin.Saya termenung seketika. Apa maksud Shalin dengan taman permainan yang mahal? Sedangkan semua orang tahu taman permainan di pusat membeli-belah yang ada prestij adalah percuma.
"Saya beritahu mereka untuk ke taman permainan, harganya mahal, hanya disinilah yang saya mampu membawa mereka untuk bermain dan menikmati suasana seperti rakan-rakan mereka yang lain,'' katanya tanpa saya soal lanjut.
Saya semakin terpukul. Lalu saya bongkar satu persatu rahsia hidup wanita ini yang akhirnya menemukan saya dengan perjalanan hidup seorang ibu tunggal dalam memberi kegembiraan kepada anak-anaknya.
"Anak sulung saya, Afiq selalu bertanya bila boleh dia pergi ke luar negara sebab ada kawan-kawan di sekolah yang selalu bercerita mereka pergi bercuti ke luar negara.
"Baru-baru ini kawannya itu pergi ke Disneyland. Dia tanya saya bila boleh bawa dia pergi ke sana. Apa yang saya hendak jawab?'' tanya Shalin tenang.
Saya terdiam. Hiba benar hati saya, kasihan Shalin, berat beban yang dia pikul. Di mana ayah budak-budak ini? soalan berani yang saya ajukan kepadanya.
"Entah. Ketika dia menghilangkan diri Afiq berusia tiga tahun dan adiknya Azim pula setahun lebih. Sampai sekarang tidak tahu dia di mana,'' tambahnya.
Memendam rasa
Tersentak saya seketika. Rasa bersalah menerpa. Bimbang Shalin terasa hati cepat-cepat saya meminta maaf.
"Tak apa kak, saya tak kisah. Memang saya dah agak akak akan tanya soalan itu. Itu sebabnya saya kena layan anak-anak saya lebih daripada segala-galanya. Merekalah buah hati saya. Apa yang saya buat semuanya untuk mereka.
"Sebab itu sebulan sekali saya bawa mereka ke sini atau mana-mana pusat membeli-belah yang ada taman permainan supaya mereka dapat bermain dengan sepuas-puasnya,'' tambahnya.
Aduhai, sayunya hati. Seorang ibu yang begitu menjaga perasaan dan hati anak-anaknya biarpun dia sendiri memendam rasa. Saya kagum dengan Shalin dan bangga dengan cara dia melayan anak-anaknya.
"Dalam kes saya, seboleh-bolehnya saya tidak pernah menghampakan mereka. Setakat ini Afiq faham alasan yang saya beri. Saya beritahu dia mama bukan orang kaya.
"Saya beritahu juga yang kawan-kawan dia semuanya ada bapa sedangkan mereka tidak ada bapa. Jadi dia tidak boleh ikut cara hidup kawan-kawan yang ada bapa. Kita kena hidup cara kita,'' jelas Shalin.
Kata-kata Shalin benar-benar menyentuh perasaan. Saya pegang bahunya dan memberitahu, pengorbanannya cukup besar sebagai seorang wanita yang bergelar ibu dalam memenangi hati anak-anak yang tidak pernah merasa kasih sayang seorang bapa.
"Bukan saya tidak kasihankan mereka, tapi inilah saja caranya saya memberi mereka kegembiraan. Akak tengoklah sendiri bagaimana riangnya mereka. Akak tahu tak, nanti apabila balik, berhari-hari mereka akan bercerita tentang keseronokan ini kepada kawan-kawan sekolah dan anak-anak jiran.
"Kasihan juga saya melihat gelagat mereka tapi nak buat macam mana. Saya berharap dalam meniti usia remaja mereka akan faham dan dapat menerima kehidupan ini seadanya,'' jelas Shalin. Sejam berbual dengan Shalin menjadikan saya benar-benar insaf.
"Lepas ini nak ke mana?'' tanya saya.
"Tasik Titiwangsa, di sana nanti kami berkelah, makan tepi tasik. Saya ada bawa bekal mihun goreng, kuih dan air dari rumah.
"Kami jarang beli makanan luar. Apabila hendak keluar saya masak makanan. Tak membazir,'' ujarnya tersenyum.
Wajah Shalin begitu manis pada pandangan saya, tapi kenapa dia ditinggalkan begitu sahaja? Panjang kisahnya kata Shalin tapi sudah lama kenangan pahit itu dilupakan. Yang penting sekarang anak-anak diberi kehidupan dan pendidikan untuk masa depan mereka.
Biarpun baru kenal, banyak cerita yang Shalin kongsi bersama saya terutama tentang rumah tangga, anak-anak dan hala tuju hidup. Kisah Shalin boleh dijadikan contoh kepada ibu-ibu tunggal yang senasib dengannya. Saya yakin kesabaran dan ketabahan yang dimilikinya menjadikan dia cukup matang.
Memetik sepatah katanya, suami boleh dicari, tapi anak, tiada galang ganti. Pun begitu Shalin sudah serik dengan lelaki bernama suami. Ketika kami berpelukan sebagai salam perpisahan saya titipkan permintaan agar pertemuan kami tidak putus di situ sahaja. Shalin mengangguk.
"Ada cerita saya akan hubungi kakak. Terima kasih kerana sudi mendengar cerita saya,'' katanya mesra.
Siapa pun dia, saya mendoakan agar Shalin dan anak-anaknya sihat dan diberi perlindungan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
Menutup kata, pesanan ikhlas saya, kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diingati, tetapi amat manis untuk dikenang. Namun yang pasti antara pahit dan manis, selalunya yang manis akan kekal sebagai satu memori abadi namun yang pahit akan terus menjadi igauan dan mimpi buruk yang tidak ada tamatnya.
Sumber : Utusan Malaysia Online (ruangan keluarga)
No comments:
Post a Comment